kisah ni memang agak panjang..tapi harap dapat bace smpai abes eh..hayatilah..Kisah Saidina Umar ra. yang paling menyayat hati
Berikut ialah sebuah kisah yang menyayat hati yang
menimpa keluarga Khalifah Saidina Umar ra. yang
dipetik daripada laman web Jabatan Mufti Negara Brunei
Darus Salam. Semoga ianya dapat menginsafkan kita
semua.
http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/sept98/h_hukum.htm
KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH
Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan
ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah.
Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan
dan hormat kepadanya.
Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak
laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar.
Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.
Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu
penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun.
Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit
tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan
tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu
Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu
menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah
perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang
juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan
kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan
Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.
Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi
pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang
perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu
mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila
perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk
melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan
mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak
berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah
dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.
Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah
sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu
pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi
mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya.
Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu
itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.
"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana
engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk
memeliharanya daripada aku."
Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa
terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak
damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang
bernama Abu Syahamah."
Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau
haram?"
Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul
Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya,
daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak
Abu Syahamah, anak ini haram."
Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham
maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh
perempuan ini berterus terang.
Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar
peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan
anak itu.
Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu
sehingga menitiskan air mata.
Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan
jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi
orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya
supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan
sebenar-benarnya dan seadil-adilnya."
Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin,
penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi
Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku
sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."
Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan
perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah
al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas
lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini
adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah."
Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi
Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau
berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian
sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di
sini sehingga aku kembali."
Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil
membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan
malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak
tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan
halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini
dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu
berhadapan dengan Allah nanti." Perempuan itu pun
mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina
Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.
Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata
kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat
Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku
kembali."
Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu
Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan
makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata:
"Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita
makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir
bekalanmu untuk kehidupan dunia."
Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut
seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang
memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku
untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus
setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam."
Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah
sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat
dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas
Penglihatannya." Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih
ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu
majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah
memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk?
Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi
perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan
seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah
anakku, kalau tidak engkau akan binasa."
Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan
perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan
beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan
hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku
itu."
Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal
setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau
adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang
berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi
engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah
lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian
lama menunggu.
"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.
"Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia
supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat
kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.
Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku,
aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu
di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu
dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik
ayahmu."
Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun
bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul
Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku,
sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri
dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah
perempuan yang menyampaikan khabar tadi."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya
(hambanya): "Wahai Muflih, pukullah anakku Abu
Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit,
jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan
kerana Allah."
Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana
khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada
Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila
diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul
Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu
Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya
seperti api yang menyala pada jasadku."
Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini
terasa lebih panas dari jasadmu."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul
sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah:
"Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
mengambil sedikit kesenangan."
Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat
menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan
kepadamu kesenangan."
Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu
Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah
merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan
nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
bertaubat."
Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku,
apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau
hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau
hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan
engkau akan dipukul seumpama ini lagi."
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu
Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.
Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan
nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum
seteguk air."
Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai
anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air
untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air
minum."
Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta
Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu
Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku,
dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."
Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai
anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka
engkau tidak akan dikasihani di akhirat."
Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu
Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai
ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan
aku begini sebelum aku mati?"
Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan
hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika
engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."
Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi
sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu
Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti
sudah sampai ajalku....."
Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai
anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan
bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."
Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus
menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali
rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang
semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para
hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa
kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan
aku saja?"
Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri
Sayyidina Umar dan berkatas: "Wahai Amirul Mukminin,
hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah
dia."
Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian
sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat
Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya:
"Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya
dalam menjalankan hukum Allah."
Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat
Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu
Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh
sebatan lagi.
Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan
mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat
sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi
sehingga hari kiamat.
Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih,
pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih
pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.
"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah
Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak
lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan:
"Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu
Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar
pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid
sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka
sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat
peristiwa tersebut.
Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin
al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat
berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan
oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar
Radhiallah 'Anhu.
Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada
malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi
bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam
yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian
putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda
dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa
saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu
kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap
kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah
dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah
menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa
bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu
Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang
benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.
p/s: saya amat mengagumi Saidina Umar..dan saya hampir menitiskan air mata membaca kisah ini..